Kamis, 12 November 2009

KESABARAN DALAM MENAHAN GELORA NAFSU

Maksud " SABAR " di dalam konteks amalan hati ialah menahan nafsu daripada dipengaruhi oleh sebarang gelora atau kegemparan hati atau perasaan atau rangsangan yang menimbulkan rasa marah atau memberontak, resah gelisah, tidak rela, sugul, kecewa atau putus asa, akibat daripada pengalaman kesusahan, ketidak selesaan atau sesuatu keadaan yang tidak disukai atau diingini. Kesabaran itu harus meliputi empat tindakan iaitu :

a. Tabah dan tekun di dalam melakukan taat
b. Menahan diri daripada melakukan maksiat atau kemungkaran
c. Memelihara diri dari godaan dunia, nafsu dan syaitan.
d. Tenang atau teguh hati menghadapi cubaan musibah

Sabar adalah satu tuntutan agama dan satu perisai untuk menahan diri daripada fitnah nafsu yang bergelora. Orang yang gagal bersabar akan gagal di dalam hidup dan akan rugi di dunia dan akhirat. Antara tujuan kita di suruh bersabar itu ialah:

1) Supaya dapat mengerjakan ibadah dengan tenteram dan dapat kesempurnaan dan seterusnya mencapai matlamatnya. Jika tidak sabar, tekanan dan ekoran daripada pelbagai kesukaran atau daripada padah pelbagai musibah menjadikan kita keluh kesah. Lalu hilang punca dan pertimbangan. Keadaan ini tentunya akan menghilangkan penghayatan dalam kerja ibadah.

2) Untuk kita berfikir dengan lebih matang. Apabila nafsu telah menguasai akal, akal tidak dapat berfikir secara rasional di dalam menghadapi tindakan yang akan dilakukan. Segala yang dilakukan itu hanya betul mengikut ukuran nafsu. Akibatnya apabila terjadi kerosakan atau kecelakaan disebabkan tindakan itu, diri manusia sudah tidak dapat mengelak, jadilah manusia itu terbelenggu disebabkan perbuatannya yang melulu. Kerana itu di dalam menangani nafsu yang bergelora, sabar itu sangat perlu. Di samping kita disuruh untuk bermujahadah (berperang) dengan nafsu yang jahat. Sabda Rasulullah s.a.w:

"Sejahat-jahat musuh kamu iaitu nafsu yang di antara dua lambungmu." - (HR Tarmidzi)

Selain daripada itu, sifat taqwa perlu diusahakan dengan menanamkan iman di dalam diri. Untuk mendapatkan sifat taqwa, kelemahan diri perlu diperbaiki. Bagi mereka yang berusaha memperbaiki dirinya, hati mereka akan sentiasa tenang dan bahagia. Bukan kerana kaya atau berada, tetapi kerana puas kepada apa yang ada. Bersabda Rasulullah s.a.w:

"Kamu tidak akan merasai kemanisan iman sehingga kamu menyintai Allah dan Rasul lebih dari segalanya, Tidak menyintai seseorang melainkan kerana Allah. Dan benci kembali kepada kekufuran seperti benci dibaling ke neraka."

Di samping itu apabila orang yang memiliki iman, sembahyangnya akan kusyu', mereka menyempurnakan puasa dan menunaikan pembayaran zakat dengan segala adab dan tuntutannya, menunaikan Haji dengan memahami segala tujuan dan tuntutannya, menjauhkan diri dari maksiat dan dosa, menjauhi perbuatan zina dan perkara yang menghampirinya, tidak mengumpat, mengadu domba, menfitnah, tidak hasad sesama sendiri, tidak sombong, tidak ujub dan sum'ah (mencari nama dan pangkat), tidak pendendam dan lain-lain.

Bila dapat kemanisan iman. penderitaan menjadi kecil dan dunia tiada ruang di dalam hatinya. Hatinya akan asyik dengan Allah. Ini berlaku pada sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w . Bilal apabila dijemur di tengah panas serta diazab untuk dipaksa kembali kepada kekufuran, dengan tenang dia menjawab, "Ahad, Ahad." Azab sengsara, tidak terasa. Ini juga berlaku kepada seorang sahabat Nabi s.a.w yang dicuri untanya ketika sedang bersembahyang, dia tidak menghentikan sembahyangnya itu. Kerana terasa kemanisan sembahyang dan tidak sedar apa yang berlaku di sekelilingnya. Banyak lagi hal-hal yang sedemikian yang boleh kita baca di dalam sejarah kehidupan para sahabat Rasulullah s.a.w.
Kerana itu kita perlu melakukan Mujahadatun Nafs (melawan hawa nafsu) dan membersihkan diri kita daripada sifat-sifat mazmumah ( yang tercela ) seperti hasad dengki, dendam, buruk sangka, mementingkan diri, gila pangkat, gila puji, gila dunia, bakhil, sombong dan sebagainya.

Langkah pertama untuk mendapatkan iman ini, maka seseorang itu perlu mempunyai :

a) Ilmu yang Islam yang sempurna dan tepat agar segala tindakan dapat diselaraskan dengan syariat dan kehendak Allah melalui hukum-hukum yang telah ditetapkannya.

b) Yakin. Keyakinan adalah perlu dan penting. Oleh itu wajiblah kita belajar dan berusaha menyuburkan keyakinan kita. Jangan biarkan keyakinan dicelahi oleh keraguan walaupun sedikit. Keraguan mesti dilawan dengan ilmu pengetahuan, bukan dengan akal semata-mata. Syaitan dan nafsu sentiasa menyuruh dan mempengaruhi akal untuk ragu-ragu dan mewas-waskan kita. Tanpa ilmu yang benar dan menyeluruh, kita akan terperangkap di dalam perangkap syaitan. Jikalau kita terperangkap di dalam jerat syaitan bagi soal-soal keyakinan, maka hapuslah segala pahala amal dan hapuslah iman. Jikalau terjadi demikian, maka matilah kita sebagai orang yang tidak beriman dan kekal di dalam neraka.

c) Beramal dengan ilmu yang telah difahami dan diyakini.

d) Bermujahadah. Iaitu melawan nafsu yang mendorong ke arah kejahatan dan menghalang diri dari melakukan maksiat lahir dan batin.

e) Istiqamah beramal. Iaitu melakukan amalan ketaatan dan ibadah serta menjauhi kemungkaran secara berterusan.

f) Mempunyai guru yang Mursyid yang dapat memimpin dan mendidik diri agar sentiasa taat kepada Allah.

g) Selalu berdoa kepada Allah. Kerana jikalau hanya usaha lahir sahaja dilakukan tanpa mengharapkan bantuan dari Allah, maka ia amat mustahil untuk membuang nafsu yang jahat di dalam jiwa manusia.


3). Kita disuruh bersabar adalah untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat. Firman Allah :

" Dan Allah amat menyukai orang yang sabar." - (Ali Imran: 146)

" Sesungguhnya orang yang beriman itu dicukupkan ganjaran mereka tanpa batas " - (az Zumat: 10)

" Hai orang yang beriman, bersabarlah kamu (melakukan taat dan menghadapi musibah), teguhkanlah kesabaran kamu, tetapkanlah kewaspadaan serta siap siaga dan bertawakkallah kepada Allah agar kamu beruntung (merebut syurga dan bebas dari neraka )
(al Baqarah: 200)

Demikianlah kesabaran itu merupakan obat yang pahit tetapi mujarab di dalam menahan diri daripada nafsu dan godaan dunia. Yakinlah, keberkatan daripada kesabaran itu membawa menfaat kepada kita, sekaligus menolak kemudaratan kepada kita. Sebagai ubat 'kepahitan' hanya sesaat, akan tetapi 'kemanisannya' akan berpanjangan. Wallahu A'lam.

Tidak ada komentar:


review http://mahesakujenar.blogspot.com on alexa.com
free counters

Followers

 
heramkempek © . Template by: SkinCorner. SEO By: Islamic Blogger Template